Sunday, May 24, 2009

myMetro » Gigs

Faizal siku emas

Laporan dan foto AZLAN HAFEEDZ
metahad@hmetro.com.my


JIKA jaguh gusti Steve Austin digelar Stone Cold, Mohd Faizal Ramli, 20, pula diberi gelaran The Golden Elbow atau Siku Emas.

Gelaran itu bukan calang-calang atau mainan kerana ia bukan diberi oleh ahli keluarga atau rakan sekampung, sebaliknya ia pengiktirafan oleh peminat sukan Muay Thai atau tomoi di peringkat antarabangsa, sinonim dengan kepakaran Faizal menggunakan kedua-dua sikunya sebagai senjata utama untuk menundukkan lawan.

Lawannya pula bukan setakat peninju tomoi di dalam negara tetapi siku emas Faizal juga sudah menumbangkan jaguh tomoi Thailand, Australia dan beberapa negara Mat Saleh lain.

Awal tahun ini, Faizal menumbangkan peninju tomoi dari Jerman untuk menjulang kejuaraan kejohanan World Muay Thai Championship (WMC) 2009 di Bangkok, Thailand.

Itulah kehebatan anak kelahiran Kampung Gong Kua, Pasir Puteh, Kelantan itu. Ibarat mengesahkan kehebatannya, Faizal terpilih mewakili Malaysia untuk rancangan realiti televisyen The Contender Asia 2 (TCA2) yang bermula Jun depan.

Dia terpilih selepas mengalahkan 18 peserta tempatan lain yang turut mencuba nasib dalam pertandingan Kejohanan Tomoi Super 8 di Kompleks Belia dan Sukan Kelantan, April lalu.


Ditanya perasaannya sebagai anak Malaysia pertama yang bakal menyertai program TCA2, Faizal berkata, dia sangat teruja dan bersemangat untuk mengharumkan nama Malaysia, sekali gus membuktikan peninju tomoi kita sama hebat dengan jaguh negara lain, termasuk Thailand.

"Bagi saya, peninju tomoi kita kini sama taraf dengan peninju luar, termasuk Thailand. Memang mereka (peninju Thailand) diberi lebih banyak pendedahan kerana dilatih sejak kecil.

"Bagaimanapun, peninju kita juga ada kelebihan tersendiri. Hasil pembabitan saya dalam kejohanan di luar negara, secara keseluruhan peminat dan peninju tomoi dari serata dunia kini menggeruni dan mengakui kehebatan peninju kita," katanya.

Menceritakan sejarah pembabitannya dalam sukan tomoi, Faizal berkata, pada awalnya dia bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.

Namun, minatnya bertukar kepada sukan tomoi selepas ayahnya, Ramli Yusuff, 48, yang juga bekas juara tomoi era 1980-an membawanya menonton satu perlawanan tomoi di Rantau Panjang, Kelantan.

Pada awalnya, Faizal menyimpan wang saku sekolahnya untuk membeli cakera padat video (VCD) perihal latihan asas sukan tomoi dan menontonnya di rumah rakan.

Ini kerana pada ketika itu ibunya, Faridah Ishak, 40, tidak merestui dia mengikut jejak ayahnya berikutan sukan itu dianggap bahaya.

Sampai satu peringkat, Faizal tidak puas hanya berlatih dengan menonton VCD, lalu dia berguru dengan sifu tomoi, Mohd Isa Sulaiman, 59, yang secara kebetulan membuka kelab tomoi dikenali sebagai 'Black Tiger' di kampungnya.

"Saya memperuntukkan masa dua jam sehari untuk belajar tomoi, termasuk 'jogging' mengelilingi kampung sejauh 10 kilometer, selain melakukan senaman menguatkan otot dan tumbukan angin sebanyak 100 kali sehari," katanya.

Faizal berkata, selepas menguasai latihan asas, dia diajar melakukan tumbukan dan hentakan siku terhadap guni berisi pasir kasar seberat 100 kilogram (kg) sebanyak 500 kali sehari.

Namun, paling memeritkannya ialah latihan menguatkan bahagian keting (tulang kering) dan betis apabila dia diminta Mohd Isa melakukan sepakan terhadap sebatang tiang bulat sebanyak 200 kali sehari.

"Akibatnya, keting saya bengkak dan ibu pula nampak. Namun bila ibu tanya, saya beri alasan jatuh kerana bermain bola sepak.

"Saya bukan sengaja berbohong atau hendak menderhaka kepada ibu, tetapi terpaksa berbuat demikian kerana minat yang terlalu mendalam terhadap sukan tomoi.

"Yang seronoknya, ayah tidak melarang, sebaliknya memberitahu, jika saya betul-betul berminat dengan tomoi, jangan berhenti separuh jalan tapi perlu teruskan sehingga sampai ke puncak," katanya.

Selain Faizal, abang, Suhaimi, 22, dan adiknya, Mohd Faizul, 17, turut terbabit dalam permainan sukan tomoi, namun pembabitan mereka berdua masih di peringkat awal.

Faizal berkata, tomoi ada kaitan rapat dengan sukan tinju, namun bezanya ialah tomoi membenarkan penggunaan kaki, lutut dan siku manakala tinju hanya menggunakan tumbukan.

Kejohanan pertama yang disertai Faizal ialah ketika berusia 15 tahun selepas selesai menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

"Namun, saya sembunyikan perkara itu daripada ibu. Agak mengejutkan kerana saya jadi juara walaupun berdepan lawan lebih berpengalaman. Kejayaan pertama itu sungguh bermakna buat diri saya.

"Ia menambah pengalaman saya dan mengajar saya mengawal ketahanan mental. Bila ada dalam gelanggang, anak muay (tomoi) perlu mengawal marah dan patuh setiap peraturan," katanya.

Menjelang TCA 2, Faizal kini giat menjalani latihan bersama rakan sepasukannya, Bernard 'Headhunter' Radin, 37, dari Sarawak di Gymnasium Lamai di Koh Samui, Thailand, selama sebulan.

Penerbit Eksekutif TCA, Riaz Mehta, berkata rancangan realiti musim kedua itu lebih menarik untuk tatapan rakyat Malaysia kerana ia bukan saja memiliki wakil Malaysia, tapi negara kita menjadi tuan rumah dan tempat penggambaran bermula Jun depan hingga perlawanan akhir pada Januari 2010.

"Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah kepada siri popular yang disaksikan oleh 500 juta penonton dari 40 buah negara ini adalah kerana landskap sesuai untuk latihan serta jumlah peminat seni tomoi yang ramai di negara ini.

"Kita jangka, musim kedua TCA akan ditonton lebih 1.2 bilion penonton kerana ia akan disiarkan ke 50 negara melalui siaran AXN," katanya sambil memaklumkan, 18 peserta dari 17 negara akan bertanding merebut wang tunai RM1 juta.



Profil

NAMA: Mohd Faizal Ramli

LAHIR: 24 Oktober 1989 di Pasir Puteh, Kelantan

KERJAYA: Peninju Muay Thai (tomoi)

KELAB: The Black Tiger Gong Kua, Pasir Puteh (2001 hingga November 2008); Malaysian Tigers Muay Thai Club, Kuala Lumpur (Disember 2008 hingga kini)

PENCAPAIAN: Sebanyak 30 penyertaan dengan 30 kemenangan tanpa kalah dan seri (2005-2009); Juara World Muay Thai Championship (WMC) di Bangkok, Thailand (2009); Juara Kejohanan Tomoi Super Eight Contender Asia (2009); pingat emas Sukan Arafura di Darwin, Australia (2009); Juara Muay Thai Ultimate Warrior Malaysia (2005, 2006 dan 2008)

2 comments:

Anonymous said...

Faizal looks so skinny. Doesn't have the tough, muscular build expected of a world class fighter.
He trains very hard, so I don't know why his body doesn't reflect that.

Anonymous said...

MAAF YA, SETAHU SAYA... FAIZAL BUKAN JUARA ULTIMATE WORRIOR 2006... JUARA ADALAH ZAWAWI AWANG TEH DRPD PULAPOL PDRM... 2006,2005 MANA ADA ULTIMATE WORRIOR... 2007 FAIZAL KALAH DGN KHOO MENG YANG MASA KAT SEMI FINAL... SO KALU SEBUT X PERNAH KALH MUNGKIN DALAM MUAY THAI TAPI BUKAN SEMUA FIGHT...

Followers