Monday, May 18, 2009

BERITA HARIAN ONLINE

SUKAN

Peninju, muay thai tunjuk garang di Sukan Arafura

Oleh Shukri Matt Ali
bhsukan@bharian.com.my

PENINJU negara dan atlit muay thai negara berjaya menyumbang empat emas kepada kontinjen negara setelah menamatkan cabaran masing-masing dalam Sukan Arafura di Darwin, Australia semalam.

Peninju skuad elit Majlis Sukan Negara (MSN), Eddey Kalai muncul juara kategori featherweight (57kg) selepas menumbangkan peninju tuan rumah, Brett Mather manakala sebutir emas lagi diperolehi menerusi Mohd Fuad Mohd Redhuan yang menundukkan peninju Indonesia, Frejhon Sahuleka dalam kategori light flywieght (48kg).

Perak tunggal sukan tinju disumbangkan Fernandes Paulis Payong yang tewas kepada peninju tuan rumah, Mark Pevinsky dalam saingan final kategori lightweight 60kg manakala gangsa pula diperolehi Effendy Kalai dalam bantamweight (54kg), Mohd Subrie Khamis (flyweight 54kg) dan Khir Akyazian (64A kg).


Sementara itu, peserta negara dalam sukan muay thai (tomoi siam) turut mencatat kejayaan membanggakan apabila memperoleh dua emas, satu perak dan tiga gangsa dalam pertandingan selama tiga hari yang berakhir semalam.


Pingat emas disumbangkan Mohd Ali Yaakub bagi kategori 57kg yang menewaskan peserta New Zealand, Geoff Ahipene manakala Mohd Faizal Ramli muncul juara kategori 91kg(sepatutnya 71kg ke bawah) ke atas selepas menumbangkan peserta tuan rumah, Clayton Collyer.

Mohd Noramin Ibrahim menyumbangkan perak selepas menjadi naib juara kategori 63.5kg, manakala gangsa diperolehi Mohd Sukri Hassan (54kg), Ismail Ramli (60kg) dan Mohd Azwan Omar (91+kg).

Dalam sukan menembak acara pistol, skuad negara memperolehi dua gangsa menerusi kategori remaja, Nee Keong Khoo dan berpasukan lelaki, Kah Hin Foo, Nee Keong Khoo, Kok Leong Cheng dan Chee Yuen Cheng.

Temasya dwitahunan Sukan Arafura yang membabitkan lebih 30 negara rantau Asia-Oceania selama seminggu itu berakhir hari ini.

No comments:

Followers