Saturday, June 20, 2009

Harian Metro

Menang bida Hollywood

KUALA LUMPUR: Kejayaan syarikat Bumiputera, Kumpulan Osys memenangi bidaan bernilai RM3.54 juta (AS$1 juta) untuk menganjurkan program realiti TV Hollywood, The Contender Asia musim kedua bakal melakar sejarah tersendiri buat negara.

Kemenangan itu tidak hanya meletakkan Malaysia setapak ke depan berbanding Amerika Syarikat, Macau, Thailand, Singapura dan Australia ketika merebut peluang menjadi tuan rumah, sebaliknya kesempatan menaikkan profil negara di seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata penganjuran program realiti TV itu yang mempunyai jumlah penonton sehingga 500 juta seluruh dunia pada musim sebelumnya, akan memberi banyak manfaat kepada industri pelancongan tempatan.

“Pulangan daripada aktiviti pemasaran, promosi dan pakej penajaan agresif produksi TV ini turut diyakini memberi potensi besar kepada pertumbuhan ekonomi negara yang dilihat sebagai moden, progresif dengan rakyat berbilang kaum hidup aman sentosa.

“Jadi, kementerian akan memberi sepenuh sokongan menjayakan produksi The Contender Asia musim baru ini,” katanya pada sidang media mengumumkan penganjuran program The Contender Asia Musim Ke-2, di Menara Dato Onn di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Osys, Muhd Shahnaz Azmi; Produser Eksekutif The Contender Asia 2 yang juga Presiden Imagine OmniMedia Pte Ltd, Riaz Mehta dan Naib Presiden Majlis Muaythai Sedunia, Stephan Fox.

No comments:

Followers